KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengesahkan Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April lalu adalah berjumlah RM35.50 bilion.

Jumlah itu membabitkan sejumlah RM0.45 bilion bagi Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan (RM29.21 bilion) dan Akaun Amanah Disatukan (RM5.84 bilion).

JANM memaklumkan ketiga-tiga akaun tersebut berjumlah RM42.18 bilion pada 31 Disember 2017, sekaligus mengesahkan kenyataan Menteri Kewaangan, Lim Guan Eng berhubung kedudukan baki Kumpulan Wang Disatukan pada 31 Disember 2017 dan 30 April 2018.

Akauntan Negara, Datuk Saat Esa berkata, Kerajaan Persekutuan hanya boleh menggunakan Akaun Hasil Disatukan untuk menampung perbelanjaan mengurus.

“Kerajaan Persekutuan hanya mempunyai RM450 juta untuk dibelanjakan daripada Akaun Hasil Disatukan pada 30 April 2018 berbanding RM11.85 bilion pada penghujung tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan perlu membelanjakan lebih daripada RM8 bilion sebulan bagi emolumen dan faedah persaraan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan