Johor mencatatkan 3,424 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga Mei lalu, sekali gus menjadikan negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor (4,064 kes).
Johor mencatatkan 3,424 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga Mei lalu, sekali gus menjadikan negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor (4,064 kes).

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan 3,424 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga Mei lalu, sekali gus menjadikan negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor (4,064 kes).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri, Liow Cai Tung berkata berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perselisihan faham dikenal pasti sebagai punca utama kes keganasan rumah tangga.

“Keadaan marah yang tidak terkawal menyebabkan lelaki atau suami mudah melakukan keganasan dengan memukul, menampar, menendang dan lain-lain perlakuan fizikal yang menyakitkan.

“Dan kita dapat lihat di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei lepas sahaja sebanyak 2,276 kes keganasan rumah tangga dicatatkan.

“Paling tinggi melibatkan mangsa wanita dalam peringkat umur 26 hingga 35 tahun dan 758 kes melibatkan wanita yang telah berumah tangga,” kata beliau ketika berucap di majlis penutup Seminar Wanita Anti Jenayah (Cegah Dadah, Elakkan Cabul Dan Dirogol) dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita, anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor dan Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (JASMINE) di sini, petang tadi.

Liow berkata kerajaan negeri sememangnya memandang serius kes jenayah berunsurkan seksual atau keganasan rumah tangga memandangkan ia bukan sekadar menyebabkan kecederaan fizikal tetapi turut mencalarkan maruah mangsa.

“Kes jenayah ini juga boleh menyebabkan trauma yang berpanjangan kepada mangsa terutama kepada kanak-kanak yang terlalu muda dan mentah yang melihat kejadian tersebut.

“Kita takut kalau tidak dibendung boleh menyebabkan anak-anak terutama remaja lari dari rumah, terbabit dengan kegiatan dadah, gangsterisme, pengguguran dan buang bayi disebabkan kes keganasan rumah tangga ini berlaku dalam keluarga mereka,” katanya.

Justeru itu, menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita terus terbela.

“Antaranya, perkhidmatan Talian Kasih 15999 dan talian khusus untuk kanak-kanak iaitu Childline 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari.

“Ia juga dilihat dapat membantu masyarakat membuat aduan mengenai kes-kes krisis yang berlaku dalam masyarakat seperti penderaan, pembuangan bayi, kaunseling dan lain-lain,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan