Polis mengesahkan keluarga dua rakyat Indonesia yang diculik di perairan Pulau Bodgaya, Semporna pada 11 Sept lalu menerima panggilan telefon daripada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) meminta wang sebanyak RM4 juta.
Polis mengesahkan keluarga dua rakyat Indonesia yang diculik di perairan Pulau Bodgaya, Semporna pada 11 Sept lalu menerima panggilan telefon daripada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) meminta wang sebanyak RM4 juta.

KOTA KINABALU – Polis mengesahkan keluarga dua rakyat Indonesia yang diculik di perairan Pulau Bodgaya, Semporna pada 11 Sept lalu menerima panggilan telefon daripada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) meminta wang sebanyak RM4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata isteri seorang daripada mangsa yang berada di Sulawesi menerima panggilan telefon daripada kumpulan itu pada 18 Sept lalu kira-kira 10.24 pagi.

“Setakat ini, isteri salah seorang mangsa telah menerima panggilan daripada suspek yang meminta wang tebusan tetapi tiada tempoh yang diberikan untuk membuat pembayaran wang berkenaan.

“Bagaimanapun kami akan tunggu perkembangan seterusnya, mungkin ada rundingan antara keluarga mangsa dan majikan mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara perbarisan dan amanat Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Pada 11 Sept lalu, dua nelayan warga Indonesia berusia 30-an diculik oleh dua lelaki bersenjata ketika sedang menangkap ikan di Pulau Bodgaya, Semporna kira-kira 12.30 tengah malam.

Dalam pada itu, Omar berkata berikutan kejadian dua lelaki dipercayai ejen jenayah penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang ditembak mati pada 21 Sept lalu, polis turut menerima beberapa maklumat daripada nelayan yang melihat pergerakan pam bot disyaki sebagai tali barut.

Oleh itu, Omar berkata kawalan keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah akan diperketatkan bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

— BERNAMA