Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kanan) bertanyakan sesuatu kepada media pada majlis Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 SEPTEMBER 2018.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kanan) bertanyakan sesuatu kepada media pada majlis Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan mana-mana parti yang tidak mahu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Beliau yang juga calon PRK P132 itu bagaimanapun mengalu-alukan sebarang pertandingan pada PRK itu.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri, pada masa sama, beliau bersedia menentang calon bebas jika terdapat pertandingan nanti.

“Saya menyambut baik jika sesiapa tidak mahu bertanding nanti namun mengalu-alukan pertandingan.

“Namun saya gembira jika tiada pertandingan dan sudah pasti saya tetap perlu berhadapan menentang calon bebas pada PRK Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Syarahan Negarawan 2018 bertajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) semalam yang sepakat memboikot PRK Port Dickson dan mengesahkan tidak akan meletakkan calon.

Perkara itu diumum oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi setelah berbincang dengan dua rakan komponennya iaitu MCA dan MIC.

Jelas beliau, ini kerana pengosongan kerusi Parlimen itu pada mulanya telah melanggar prinsip demokrasi.

Menurut Zahid, kos mengendalikan PRK Parlimen yang berjumlah RM3.6 juta sewajarnya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Port Dickson kosong apabila penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Parti itu tambah Zahid belum membuat keputusan berkenaan bantuan kempen yang akan dihulurkan jika Pas meletakkan calon dalam PRK yang akan berlangsung 13 Oktober itu. – MalaysiaGazette