Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kiri) pada majlis Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 SEPTEMBER 2018.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kiri) pada majlis Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat mesyuarat Senat Universiti di sebuah universiti kebangsaan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris.

Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, laporan mengenai senario itu diterima daripada para Dekan dan sasterawan.

Tegasnya, beliau tidak boleh menerima perkara itu dan mesyuarat Senat Universiti sepatutnya dikendalikan dalam bahasa Melayu.

“Saya mahu Menteri (pendidikan) tegur kerana mesyuarat Senat Universiti patut dalam bahasa kebangsaan.

“Kalau mereka buat begitu, pandangan orang akan serong dan kita sudah berganjak daripada dasar.

“Ya, Senat Universiti perlu menggalakan penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris namun jangan sekali meremehkan bahasa kebangsaan.

“Kita sokong kalau universiti mengadakan program memantapkan bahasa kedua namun Senat Universiti di sebuah universiti kebangsaan mengadakan mesyuarat dalam bahasa Inggeris dan saya tidak boleh terima,” katanya beremosi.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog selepas menyampaikan Syarahan Negarawan 2018 bertajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan bahasa Melayu dan bertekad untuk memartabatkan kedudukannya.

Katanya, isu berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dirungkai lagi kerana telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan

Bagaimanapun, jelas beliau ia tidak bermakna penguasaan bahasa lain seperti Inggeris dan lain dipinggirkan kerana ia merupakan bahasa kedua di dunia.

“Insya-Allah kerajaan baru Pakatan Harapan akan tetap pertahankan (bahasa Melayu).

“Saya mengaku agak keras dengan anak-anak untuk menguasai bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris namun saya sesekali tidak akan meremehkan bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Anwar menggesa DBP membuat perubahan sesuai seiring dengan situasi semasa supaya menjadi gedung ilmu dan budaya bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi bangsa lain juga.

Jika tiada perubahan dilakukan, beliau bimbang DBP akan terus lesu dan dipandang sepi oleh segenap masyarakat.

“Saya rasa DBP perlu kembali kepada peranannya menjadi pusat budaya, bahasa yang segar lagi hebat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan