Tan Sri Syed Hamid Syed Albar
Bekas Menteri Luar Malaysia juga Bekas Duta Khas OIC ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar bercakap pada sidang media mengenai isu pelarian Rohinghya di Malaysia di Restoran Mama Nor Yong Tau Foo, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPURĀ – “Selain kuasa Allah, tiada kuasa lain yang mampu mengubah perancangan Pakatan Harapan (PH) untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan,” kata Tan Sri Syed Hamid Syed Albar.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, kesediaan Anwar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak menunjukkan beliau terdesak mengambil alih kuasa daripada Mahathir.

“Saya fikir dia (Anwar) ada jadual dan program, ada persetujuan di antara komponen PH bila masanya dan Anwar sendiri kata dia tak nak kelam kabut untuk ini (ganti Mahathir).

“Akhirnya dia nak bertanding kerana dia nak terlibat dalam proses reformasi Parlimen, itu hak dia dalam ruang demokrasi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Umum PKR itu terdesak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir selepas Anwar mengumumkan akan bertanding dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Kebimbangan itu timbul selepas pendedahan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani baru-baru ini yang mendakwa wujud gerakan dalaman PKR untuk menghalang daripada Anwar menjadi Perdana Menteri.

Syed Hamid juga menegaskan, tiada kuasa yang boleh mengubah kesepakatan untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan sudah dipersetujui oleh semua pimpinan komponen PH sebelum PRU14 lalu.

“Kita ingat di peringkat awal memang itu yang diperkatakan, lepas itu dia nampak nak cepat (peralihan kuasa), dia kata dia sudah tunggu 20 tahun.

“Pada saya sudah ada persetujuan bahawa selepas Dr Mahathir adalah Anwar. Jadi selain daripada kuasa Allah tidak ada kuasa lain yang boleh mengubahkannya,” katanya. – MalaysiaGazette