Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama dua ahli keluarganya diiringi pegawai SPRM berjalan keluar selepas mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari berhubung salah laku berkaitan kontrak Tabung Haji di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2018.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama dua ahli keluarganya diiringi pegawai SPRM berjalan keluar selepas mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari berhubung salah laku berkaitan kontrak Tabung Haji di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim direman empat hari bagi membantu siasatan salah laku dalam pemberitan kontrak Tabung Haji.

Turut direman abangnya Abdul Latif Abdul Rahim serta seorang lagi individu dipercayai saudaranya dalam lingkungan usia 30-an.

Kesemua mereka direman untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Shah Wira Abdul Halim telah membenarkan suspek direman bermula hari ini sehingga 29 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Ketiga-tiga suspek diwakili barisan empat peguam diketuai S.Devanandan manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM ialah Ahmad Akril Gharib.

Proses mendapatkan perintah reman mengambil masa hampir empat jam berikutan hujah hujah antara peguambela dan Timbalan Pendakwa Raya mengenai seksyen yang akan digunapakai untuk menyiasat ketiga tiga suspek.

Devanandan berkata, pihaknya membantah permohonan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dengan menyatakan Peraturan khusus iaitu Seksyen 40 Akta SPRM seharusnya digunakan untuk reman bagi penyiasatan.

“Lagipun anak guam kami boleh disiasat tanpa memerlukan ditahan reman, mereka sedia memberi kerjasama untuk siasatan kes dan sanggup hadir pukul 9 pagi setiap hari.

“Apatah Lagi Abdul Azeez sendiri menyatakan kesediaannya memberi kerjasama untuk  hadir setiap pagi ke SPRM apabila disoal sendiri oleh majistret tengahari tadi.

“Malangnya majistret berkeputusan mengekalkan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang dimohon SPRM sekaligus membenarkan direman empat hari, yang mana kami terpaksa akur.

“SPRM pula mahu reman kerana hendak menyiasat dengan membandingkan rakaman keterangan ketiga tiga suspek dengan saksi saksi lain dalam siasatan ini,” katanya kepada media.

Ditanya kes yang disiasat SPRM ke atas ketiga tiga suspek, Devanandan berkata, mereka disiasat berkaitan beberapa kontrak yang telah diberikan oleh Tabung Haji.

Abdul Azeez bersama dua ahli keluarganya dihadapkan ke Mahkamah Majistret oleh SPRM sekitar pukul 10.35 pagi.

Mereka berpakaian lokap SPRM dan bergari meninggalkan mahkamah pukul 1.49 petang selepas mendapatkan perintah reman.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO berusia 52 tahun itu ditahan sekitar jam 11.15 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Abangnya, Abdul Latif  yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat pula ditahan SPRM di Sungai Buloh, 15 minit kemudian hari yang sama.

Manakala individu ketiga kes ini yang juga pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM 5.30 petang semalam.

Mereka dipercayai ditahan untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa serta penggubahan wang haram.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Riza Aziz turut dipercayai dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan semalam tetapi tidak ditahan.

SPRM pada Mei lalu merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Serbuan itu disyaki berkaitan dengan siasatan berhubung TH.

Dalam serbuan sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di sini.

Wang tunai Ringgit Malaysia yang dirampas dipercayai sejumlah RM500,00 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.

Antara mata wang asing dari negara seperti Britain, Vietnam, India, Korea Utara, UAE, Mesir, Eropah, Sri Lanka, Syechelles, Somalia, Myanmar, Afrika, Pakistan dan Qatar. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan