Lokman Noor Adam bersama penyokong yang hadir di Istana Negara bagi menzahirkan sokongan terhadap Sultan Muhammad V. 

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 kini menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) yang sengaja digunakan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengugut pemimpin UMNO khususnya. 

Presiden Pemantau Malaysia Baru berkata, ramai pemimpin UMNO termasuklah ahli-ahli Parlimen parti itu kini disiasat di bawah akta itu.

Tindakan itu dilihat sebagai strategi politik agar parti keramat Melayu itu ditinggalkan. 

“AMLA suda digunakan menggantikan ISA. Hari ini pemimpin UMNO, ahli Parlimen UMNO disiasat di bawah AMLA apabila menerima dana… Kita minta campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk menghentikan penyalahguna kuasa,” katanya. 

Terdahulu, Lokman bersama-sama lebih kurang 100 penyokong dan peserta NGO terdahulu hadir di Istana Negara bagi menzahirkan sokongan terhadap Sultan Muhammad V. 

Beliau juga memaklumkan telah menyerahkan memorandum rayuan campur tangan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin yang lalu. 

Turut hadir pada perhimpunan yang bermula pada 9 malam tadi adalah bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air  (KITA) yang juga bekas pemimpin PKR Zamil Ibrahim dan pelakon  yang sering hadir dan memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Ellie Suriaty.

Selain Datuk Seri Najib yang berdepan dengan 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ke akaun peribadi di bawah AMLATFA, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Azeez Rahim turut disiasat di bawah akta yang sama.

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). – MalaysiaGazette