SKMM
Al-Ishsal Ishak

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Al-Ishsal Ishak dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan berkata, Al-Ishsal diberikan kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Al-Ishsal Ishak adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan biasiswa Japan Airlines di Sophia University, Tokyo.

Selepas tamat pengajian, beliau menceburi bidang keusahawanan dalam arena digital dari tahun 1994 sehingga 2008, kata Gobind.

Al-Ishsal kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Digital McCann Ericsson Worldgroup; Ketua Pegawai Eksekutif Baraka Telecom; Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Produk di Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad; dan Ketua Kumpulan Ancilliary AirAsia serta pelbagai jawatan pegawai kanan di Tune Group.

Al-Ishsal juga adalah Pengarah Urusan Asia Tenggara ECO Capacity Exchange Ltd (London) serta pelatih dan perunding untuk Kumpulan Airbus sebelum menyertai Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Selain itu, Al-Ishsal pernah berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan bekas ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC).-MalaysiaGazette