Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hasnita Hashim bercakap pada sidang media khas memperkenalkan ahli majlis MARA yang baharu di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, Dr Hasnita Hashim menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar.

Pengerusi Maybank Asset Management Group itu bagaimanapun memberitahu pelan melakukan transformasi ke atas Mara perlu mengambil masa.

“Saya hanya akan memulakan tugas pada 1 Oktober ini. Namun pelan perancangan apa yang mahu dilakukan perlu mengambil masa.

“Saya dan Ahli Majlis Mara yang baharu akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Menterinya, Rina Mohd. Harun dalam memperkasakan Mara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Mara yang turut dihadiri Rina di sini hari ini.

Mengulas pelantikannya sebagai wanita pertama menjadi Pengerusi Mara, Hasnita memberitahu, beliau tidak hanya memberi fokus kepada golongan itu menjadi usahawan sahaja.

Jelas beliau, apa yang penting penglibatan lebih ramai Bumiputera menceburi bidang keusahawanan.

Hasnita memilik Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Nuklear dari Universiti Oxford merupakan seorang pakar aktuari.

Beliau ketika ini merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah  Maybank Banking Bhd.

Hasnita memiliki pengalaman selama 26 tahun dalam bidang pengurusan kewangan dan pernah menjawat jawatan Ketua Eksekutif Guidance Investment, sebuah firma pelaburan di bawah Guidance Financial Group.

Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang ahli aktuari di Coopers & Lybrand di London dan merupakan salah seorang ahli Institut Aktuari.

Pelantikan Hasnita bersama bersama enam lagi ahli lembaga pengarah Mara yang baharu diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan