Bijan Zanganeh. foto Reuters

GENEVA – Donald Trump perlu berhenti campur tangan di Asia Barat jika mahu harga minyak murah, kata Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh.

“Trump cuba untuk mengurangkan eksport minyak Iran dan juga memastikan harga minyak tidak naik tetapi ia tidak akan berlaku.

“Kalau beliau mahu harga minyak tidak naik dan tidak menyebabkan pasaran tidak stabil, beliau perlu berhenti campur tangan di Timur Tengah dan jangan menjadi halangan kepada pengeluaran dan eksport minyak Iran,” katanya.

Jelas beliau, bukan OPEC yang menyebabkan kenaikan harga minyak tetapi Trump.

Teganya, ahli-ahli OPEC tidak ada kapasiti untuk meningkatkan pengeluaran minyak.

Dalam ucapannya di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Trump mengulangi gesaan supaya OPEC meningkatkan pengeluaran minyak bagi menghentikan kenaikan harga.

Trump turut menuduh Iran punca kekacauan dan mahu mengenakan sekatan tambahan ke atas Tehran.

Amerika Syarikat akan memohon sekatan untuk menghentikan eksport minyak dari Iran, pengeluar ketiga terbesar di OPEC, bermula pada 4 November.

Kehilangan bekalan Iran itu mendorong kenaikan harga minyak. – MalaysiaGazette