Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis di Pentagon, Washington DC hari ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis di Pentagon, Washington DC hari ini.

Washington DC – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis di Pentagon, Washington DC hari ini.

Perbincangan antara lain menyentuh isu keamanan di Laut China Selatan di mana Malaysia akan kekal berpendirian sebagai negara berkecuali.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, pertemuan hampir sejam itu turut membincangkan isu bagi menangani ancaman pengganas ISIS dan membendung pemikiran terorisme.

Malaysia juga turut membangkitkan isu penghapusan etnik Rohingya agar kuasa besar itu segera campur tangan memandangkan ia bukan lagi isu domestik di Myanmar malah isu kemanusiaan sejagat.

 “Malaysia berpandangan jika isu Rohingya tidak ditangani segera ia bakal mengulangi apa yang terjadi di negara Palestin apabila rakyatnya dibunuh dan tanah dijajah sekaligus dibimbangi akan mampu menyuburkan fahaman Daesh,” kata kenyataan itu.

 Turut serta dalam pertemuan itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri  Panglima Zulkifli Zainal Abidin dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan.

Pertemuan hari ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja YB Menteri Pertahanan ke Amerika Syarikat bermula 23 – 29 September 2018.

Mohamad Sabu juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi berhubung dengan Action For Peacekeeping di New York dan akan mengiringi Perdana Menteri ke Sesi-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 25 hingga 29 September 2018.

Lawatan kerja tersebut merupakan susulan kepada pertemuan beliau dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Singapura pada Jun 2018. – MalaysiaGazette