Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang peniaga didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan merosakkan alat kapit tayar milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), awal bulan ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkarnain Hashim, 41, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa telah melakukan khianat terhadap harta kepunyaan DBKL dengan merosakkan alat kapit tayar membabitkan kerugian kira-kira RM500 di Jalan 4/109F Taman Desa, Brickfields, di sini pada jam 11.30 pagi, 3 Sept lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh, namun Zulkarnain, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan kali pertamanya. – MalaysiaGazette