Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Ujian tekanan terkini yang dijalankan Bank Negara Malaysia menunjukkan sistem kewangan negara dijangka kekal berdaya tahan walaupun berdepan makro-ekonomi dan kewangan.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, bank pusat itu berkata, institusi kewangan mampu mengekalkan penampan modal yang melebihi peraturan minimum meskipun berada dalam senario yang buruk.

Ketika ini, institusi kewangan mengekalkan jumlah penampan modal sebanyak RM135.9 bilion.

“Bagaimanapun, Bank Negara kekal berwaspada terhadap perkembangan domestik dan luaran yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan domestik, termasuk langkah mengetatkan selanjutnya dalam keadaan kewangan global yang boleh membawa kepada turun naik pasaran kewangan yang lebih tinggi,” katanya.

Prestasi kewangan sistem perbankan pada separuh pertama 2018 adalah kukuh dengan margin meningkat apabila bank mendapat manfaat daripada peningkatan kecekapan berterusan dan peningkatan kualiti aset.

Jumlah keseluruhan pinjaman terjejas (peruntukan rosot nilai individu bersih) menguncup 10 peratus kepada RM16 bilion atau satu peratus daripada jumlah pinjaman bersih.

Pulangan tahunan aset dan ekuiti stabil pada 1.5 peratus dan 13.3 peratus.

Prestasi pendapatan bank dijangka dapat dikekalkan di tengah-tengah usaha berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Risiko yang timbul daripada hubungan antara institusi kewangan bukan bank (BFI) dengan sistem kewangan domestik kekal stabil secara meluas dan sebahagian besarnya dibendung.

Risiko penularan dari pendedahan luaran dan operasi luar negara bank juga dijangka dapat dibendung.

Terdapat sedikit tanda pergantungan yang tidak wajar terhadap pendanaan luaran dan rentas mata wang di kalangan bank tempatan.

Hutang luar bank di negara ini terdiri daripada kurang lapan peratus daripada jumlah liabiliti sistem perbankan, dan bukan pemastautin hanya menyumbang 4.7 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan.

Walaupun aset luaran bertambah sejajar dengan liabiliti luar bank, liabiliti luaran bersih sistem perbankan melebar pada separuh pertama 2018, terutama mencerminkan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh bank untuk mengukuhkan penampan mudah tunai mata wang asing di tengah-tengah peningkatan turun naik tidak menentu pasaran global.

Operasi domestik bank Malaysia dibiayai sebahagian besarnya oleh sumber pembiayaan domestik dalam denominasi ringgit.

Kumpulan perbankan domestik juga terus mengembangkan operasi serantau mereka seiring dengan peningkatan hubungan pelaburan di Asia, walaupun pada kadar yang lebih sederhana.

Operasi itu terus disokong oleh paras permodalan yang kukuh dengan pendapatan yang lebih baik, kualiti aset yang kukuh dan struktur pendanaan yang stabil.

Keseluruhannya, sistem perbankan terus disokong oleh permodalan yang kukuh, portfolio kredit yang kukuh dan tahap peruntukan yang berhemat.

Sektor insurans dan takaful mengekalkan pertumbuhan positif sebanyak 2.2 peratus disokong oleh permodalan keseluruhan yang kukuh.

Perniagaan baharu bagi insurans hayat dan pengendali takaful keluarga mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 7.7 peratus, didorong terutamanya oleh pertumbuhan produk berkaitan insurans dan takaful yang konsisten dengan pengembangan pinjaman perumahan yang mampan.

Perniagaan sektor insurans dan takaful am juga disokong oleh segmen motor, dan permintaan yang agak kukuh dalam segmen perubatan dan kesihatan.

Industri itu secara keseluruhan tetap menguntungkan walaupun terjejas oleh pulangan pelaburan yang lebih lemah, sejajar dengan prestasi pasaran kewangan domestik.-MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan