Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2018
Anwar Ibrahim

SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesiapa pun bebas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson termasuk Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Itu hak beliau untuk bertanding. Sesiapa sahaja bebas untuk menawarkan diri untuk bertanding. Saya tidak ada apa-apa untuk komen.

“Biar rakyat putuskan,” kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika ditemui hadir menyaksikan tayangan khas filem Tamil bertajuk ‘Chekka Chevantha Vaanam’ di Era Square di sini, malam ini.

Anwar bagaimanapun enggan mengulas kononnya bakal dicabar oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Ezam Mohd Noor.

Beliau turut mengingatkan rakan parti supaya tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, sebaliknya menggunakan badan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti sebelum ini.

Beliau berharap semua yang bakal mencabarnya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Anawar sekali lagi mengingatkan Pakatan Harapan tidak menyalahgunakan jentera kerajaan semasa pilihan raya berlangsung. – MalaysiaGazette