Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga kes kematian terbaharu akibat keracunan metanol dilaporkan Kementerian Kesihatan dalam insiden yang memasuki hari ke-13 sejak 5 September lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes itu dilaporkan masing-masing di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan arak metanol meningkat kepada 40 kes.

“Terkini, jumlah kematian akibat keracunan metanol di negeri Selangor adalah seramai 24 kematian, negeri Perak empat kematian, Kuala Lumpur seramai 11 kematian, manakala satu kematian di Negeri Sembilan,” katanya di sini.

Tambah beliau sejak kejadian dari 15 September sehingga 27 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 95 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM.

Ujar beliau, setakat ini jumlah keseluruhan kes keracunan metanol di Selangor sebanyak 63 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada tiga kes, Kuala Lumpur dan Perak masing masing kekal 17 dan 12 kes.

Terkini jumlah kematian akibat keracunan metanol di negeri Selangor adalah seramai 24 kematian, negeri Perak empat kematian, Kuala Lumpur 11 kematian, manakala satu kematian di Negeri Sembilan.

“Daripada pesakit yang menerima rawatan di hospital, terdapat lapan pesakit yang telah stabil dan dibenarkan keluar hospital.

“Sehingga 12:00 tengahari tadi, seramai 17 orang pesakit masih dirawat di enam buah hospital di sekitar negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

“Daripada 17 orang pesakit ini, tujuh pesakit adalah kes kritikal,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata KKM sedang berusaha untuk menyebarluas maklumat berkaitan keracunan metanol ini kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang berisiko.

“Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,581 buah premis yang menjual arak di mana 5,905 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit telah disita kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette