Kelab Chelsea bukan untuk dijual

LONDON – Laporan bahawa Roman Abramovich sanggup menjual Chelsea dengan nilai lebih 3 bilion pound didakwa tidak benar.

SkySports dimaklumkan bahawa kelab Stamford Bridge itu tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.

Stesen penyiaran Amerika Syarikat, Bloomberg melaporkan pemilik the Blues itu melantik institusi kewangan di AS untuk menasihati berhubung penjualan kelab London itu.

Malah Abramovich juga tidak kelihatan di London sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas dilanda masalah visa pada Mei lalu.

Walaupun ketidakhadiran pemilik Chelsea memperkuatkan spekulasi kelab itu akan dijual, sumber terdekat menafikan segala maklumat tular dalam media sosial mengenai the Blues.

Sumber kelab London Barat itu memberitahu Sky Sports Network bahawa kelab itu bukan untuk dijual.

Abramovich difahamkan tidak berhasrat untuk menjual kelab itu.

Hartawan warga Rusia berumur 51 tahun itu masih komited dengan pembangunan kelab tersebut walaupun pelan pembangunan semula stadium Stamford Bridge ditangguhkan sementara waktu.

Abramovich membeli Chelsea pada harga 140 juta pound pada 2003 dan berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa dan lima gelaran Liga Perdana Inggeris serta lima Piala FA. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan