Tun Dr Mahathir Mohamad di Bloomberg Buisness Forum, yang di kendalikan oleh Fareed Zakaria dari CNN
Tun Dr Mahathir Mohamad di Bloomberg Buisness Forum, yang di kendalikan oleh Fareed Zakaria dari CNN

NEW YORK – Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar pada Rabu, bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan akan bertindak habis-habisan bagi memastikan pentadbirannya itu bebas dari gejala rasuah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dan anggota kabinetnya harus menjadi contoh terbaik dalam usaha memerangi rasuah.

“Perkara pertama yang perlu kita lakukan tentunya memastikan pada pemimpin tidak mengamalkan rasuah. Jika pemimpin itu sendiri rasuah maka kita tidak akan dapat menghentikan rasuah daripada merebak.

“Di mana-mana negara, sedikit sebanyak akan berlakunya rasuah tetapi ideanya adalah untuk memastikan ianya berada pada paras minimum dan ianya dilakukan melalui apa yang kita panggil kepimpinan melalui teladan,” katanya dalam satu panel perbincangan di Bloomberg Buisness Forum, yang di kendalikan oleh Fareed Zakaria dari CNN di sini.

Ahli panel lain ialah Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Ketua Pegawai Eksekutif Royal DSM Feike Sijbesma.

Dr Mahathir berada di sini untuk lawatan kerja lima hari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-73.

Dr Mahathir berkata pada masa ini rakyat Malaysia yakin bahawa kerajaan baru telah berjaya menghentikan rasuah yang merupakan ciri kerajaan terdahulu.

Beliau berkata kerajaan serius dengan menetapkan arahan ke atas anggota kabinet dengan meminta mereka termasuk beliau sendiri sebagai perdana menteri mengisytiharkan hak milik, harta dan pendapatan peribadi mereka yang akan diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika pemimpin tidak rasuah, maka berkuranglah kegiatan rasuah dalam sistem. Jadi itulah yang kami lakukan sekarang, kini kami sangat serius.

“Jadi kami sedang melakukan segala apa yang kami boleh untuk mengurangkan atau malah menghapuskan terus rasuah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir yang berusia 93 tahun berkata, “Saya telah berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai Perdana Menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang “.

Beliau berkata beliau menerima cadangan untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua kerana ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara.

“Jadi saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana selama dua tahun dan kemudian pemimpin baru akan ambil alih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai amalannya agar tetap sihat, Dr Mahathir, Ketua Negara tertua di dunia itu berkongsi rutin hariannya.

“Saya mengikut diet yang ketat. Saya tidak makan terlalu banyak. Saya lakukan sedikit senaman, dan saya tidur selama enam jam. Jika anda mengamalkan kehidupan yang dikawal baik, anda akan selamat. Tetapi jika anda menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati, tidak ada apa yang boleh anda lakukan,” pengakuannya itu yang membuatkan ahli panel dan penonton ketawa.

Serentak itu Rutte terus berkata kepada Fareed “Ini bermakna anda dan saya masih boleh menjadi Perdana Menteri pada usia 90 tahun” dan Fareed menjawab “Saya fikir ini adalah kemunculan semula politik terunggul selama 25 tahun saya mengikuti politik. Saya tidak fikir akan ada satu lagi sepertinya”.

— BERNAMA