Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Tanggapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap penceramah bebas antarabangsa, Dr Zakir Naik lebih kepada bersifat prejudis, penuh prasangka dan tanpa penyiasatan serta kajian teliti.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr Amini Amir Abdullah berkata, bagi golongan yang mengenali dan sering mengikuti ceramah Dr Zakir tidak bersetuju dengan prasangka buruk menteri itu.

“Adakah tuduhan Dr. Mujahid ini benar? Bagi mereka yang mengikuti secara rapat pendekatan dakwah Dr. Zakir Naik, pasti akan menggelengkan kepala sebagai tanda tidak setuju dengan tuduhan Dr. Mujahid.

“Ini kerana Dr. Zakir Naik dikenali sebagai pendakwah paling cemerlang abad ini dalam menyebarkan dakwah dan mesej Islam serta mengislamkan ramai orang bukan Islam berbanding dengan mana-mana pendakwah sekalipun.

“Jika pendekatan dakwahnya, mencaci agama lain, mana mungkin beliau berjaya menarik begitu ramai orang bukan Islam memeluk Islam dan menarik perhatian serta kefahaman umat Islam mengenai ajaran agama yang sebenar dan tulen,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mujahid kelmarin, yang melaporkan, kaedah digunakan pendakwah dari India itu, yang dianggap merendahkan agama lain tidak sesuai dengan budaya negara ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu memberi alasan kononnya Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan etnik dan secara peribadi merasakan kaedah penyampaian atau dakwah Dr Zakir itu tidak sesuai.

Menurut Dr Amini Amir, Dr Mujahid suka mencetuskan isu untuk mendapatkan publisiti murahan melalui kenyataan yang tidak logik seperti sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai tandas untuk golongan Lesbian, Gay Biseksual dan Transgender (LGBT).

Katanya, belumpun reda isu tandas transgender dan dialog beliau dengan puak LGBT, tiba-tiba muncul pula isu kritikannya yang melulu terhadap Dr. Zakir Naik.

“Ini menunjukkan Dr. Mujahid tidak peka dan prihatin dengan sensitiviti umat Islam dalam negara ini.

“Jika beliau boleh berdialog dengan puak LGBT, kenapa pula tidak berdialog dengan Dr. Zakir Naik? Kenapa beliau tidak memanggil Dr. Zakir Naik untuk berbincang sebelum membuat tuduhan melulu?” soal beliau.

Beliau menggesa Dr. Mujahid lebih berhati-hati dalam membuat tuduhan terhadap Dr. Zakir Naik agar tuduhan yang dilakukan itu tidak memberikan implikasi kepada dirinya sendiri.

“Janganlah hanya membaca teks yang dibuat oleh orang lain tanpa ada sebarang usul periksa dan kajian yang tuntas,” tegasnya.

Untuk rekod, katanya, Perkasa telah mengadakan program perdana “Diskusi Intelektual Bersama Dr. Zakir Naik” di Universiti Malaya pada 15 April tahun lalu dan dalam majlis itu, beliau telah dianugerahkan Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara oleh pertubuhan itu.

Jelas beliau, kerajaan Malaysia juga sebelum ini telah mengiktiraf sumbangan Dr. Zakir Naik kepada perkembangan Islam di Malaysia dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2013.

“Anugerah itu dikurniakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kerana sumbangannya kepada pembangunan Islam pada 5 November 2013.

Bahkan, ujar beliau, pihak Interpol juga telah lama menarik balik sebarang pertuduhan terhadap Dr. Zakir Naik berkaitan keganasan dan hal itu telah membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan melulu, prasangka, prejudis dan fitnah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan