Mahkamah Majistret di sini, hari membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

GEORGETOWN- Siasatan kes Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya pada Jun lepas, dijangka selesai dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis telah merekod keterangan ramai saksi termasuk isteri serta anggota keluarga Nazrin dan akan melengkapkan kertas siasatan kes itu.

“Memang ramai yang ditangkap, mereka ialah isteri dan bekas suami wanita itu, anak tiri dan adik ipar serta suaminya namun telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan ke atas mereka.

“Jadi saya nak maklumkan, polis akan selesaikan kes itu dalam masa terdekat,” kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2018 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran. Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas.

Terdahulu pada majlis itu, Noor Rashid menyampaikan hadiah kepada jabatan dan kontinjen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan komitmen tinggi dan aktif dalam menyokong aktiviti serta budaya inovasi hingga ke peringkat akar umbi bagi meningkatkan kualiti penyampaian kepada masyarakat.

Beliau berkata, dua acara utama ditampilkan dalam sambutan kali ini, dengan memberi penekanan kepada usaha menggilap kebolehan dan kompetensi diri melalui Kumpulan Kreatif dan Inovatif, manakala Anugerah Inovasi PDRM pula mengkhususkan kepada program atau projek bersifat inovasi dan berimpak tinggi.

Pemenang bagi kategori Inovasi PDRM terbaik ialah kumpulan D’Aman III dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang mengusahakan projek Intervensi Pencegahan dan Penyalahgunaan Dadah kepada Pelajar Sekolah.

Kategori Penambahbaikan Majlis Persada Inovasi dimenangi Kumpulan Start Go Green (S3G) dari Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman yang memperkenalkan Sistem Laporan Go Green PDRM dalam talian manakala kategori Penciptaan dimenangi Kumpulan Marine Invention dari Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Kuching, Sarawak yang mencipta Projek: kelewatan menguji enjin outboard ketika tugas pembaikan di luar kawasan (M-Poert).

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan. – MalaysiaGazette