Jurulatih B16 Bola sepak kebangsaan, ditamatkan perkhidmatan ekoran kegagalan pasukan itu layak ke pusingan piala dunia di Peru.

KUALA LUMPUR – Khidmat Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak kebangsaan Bawah 16 tahun, Lim Teong Kim ditamatkan serta merta susulan kegagalannya merebut slot ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tindakan itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata keputusan itu berkuatkuasa serta-merta atas arahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Datuk Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan.

“Cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun Stuart menegaskan FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Ujar beliau, kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya

“Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart sambil merakamkan setinggi penghargaan kepada penyokong yang tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“FAM menghargai sokongan penyokong dan kami berharap kelompok pemain ini akan diasuh dan matang untuk dijadikan teras skuad senior dalam masa lima dan enam tahun akan datang.”

Skuad Malaysia B-16 dibarisi kebanyakannya kelompok pertama yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu.

Skuad negara melakar kemenangan di saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2, tetapi kemudian tewas 4-2 dengan Thailand dan ditundukkan Jepun 2-0, sebentar tadi.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S. Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 2-1 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014. – MalaysiaGazette