Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin mengakui dirinya hampir menitiskan air mata selepas mendapat tahu Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil keputusan meninggalkan UMNO.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli tidak pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan UMNO meskipun mereka berdua sangat rapat.

“Sebab utama saya mahu selamatkan UMNO dan kekal dalam UMNO adalah disebabkan kehadiran individu seperti Datuk Seri Mustapa dan apabila beliau meninggalkan parti, ia mewujudkan ruang kosong kepada parti,” katanya ketika ditemu bual oleh sebuah stesen radio hari ini.

Khairy berkata, kehilangan Mustapa yang dikenali dengan panggilan Tok Pa telah menghilangkan sinar harapan di dalam UMNO untuk menjadi sebuah parti pembangkang.

“Saya sedih kerana bukan sahaja kita kehilangan sinar harapan dalam parti tetapi juga kehilangan rakan sekutu yang faham pandangan ‘centrist’ dan identiti sebenar UMNO,” ujarnya.

Tambahnya, beliau bersetuju dengan pandangan Mustapa bahawa UMNO kini berhadapan dengan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Malah katanya, beliau percaya UMNO berada pada kedudukan yang lebih buruk berbanding ketika parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

Jelasnya, walaupun rakyat semakin kritikal terhadap kerajaan tetapi ia tidak diterjemah kepada peningkatan sokongan untuk UMNO.

“Lihat sahaja keputusan beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini, lihat sahaja prestasi kita!,” tambah beliau. – MalaysiaGazette