Pelancaran Mercedes-Benz S-Class yang diadakan di KLCC pada tahun ini. foto KLCC

KUALA LUMPUR – Daripada 901 acara yang dianjurkan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, sejumlah 237 acara atau 26 peratus merupakan acara baharu yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) buat kali pertamanya.

Dari 1 Januari 2018 hingga 31 Ogos 2018 lalu, mesyuarat korporat dan majlis jamuan bankuet (segmen jualan korporat) mencatat pertumbuhan paling besar bagi segmen
perniagaan Pusat Konvensyen.

Ia menyaksikan peningkatan 161 acara, iaitu kenaikan 22 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengurus Besar KLCC, Alan Pryor berkata, peningkatan ini membuktikan keunggulan lokasi strategik pusat konvensyen bertaraf dunia di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Malah, katanya, tempahan korporat kekal kukuh dengan 37 peratus tempahan sudah disahkan pada suku keempat tahun ini.

“Dan, pasukan kami sedang bekerja keras untuk mengekalkan momentum ini untuk tahun depan,” katanya.

Pusat konvensyen ini menyediakan perhubungan dan kemudahan luar biasa untuk perwakilan korporat terutama sekali peserta yang mahu kesempurnaan dan keselesaan.

“Lokasi kami memudahkan pelanggan kami menuju ke pusat-pusat rekreasi, hiburan,
menjamu selera dan juga penginapan, yang kesemua terletak berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pryor menambah, KLCC juga memenuhi keperluan untuk acara kecil dan juga besar dari perjumpaan untuk 10 orang hingga perhimpunan besar untuk beribu-ribu perwakilan.

“Fleksibiliti ini disertakan dengan fokus kami kepada pelaburan dalam teknologi, kepakaran kulinari, kecemerlangan perkhidmatandan piawaian kualiti antarabangsa,” ujarnya.

Menurut beliau, kerja-kerja pembesaran dan pembinaan kemudahan tambahan juga dijadual siap pada bulan Julai tahun depan.

Pembinaan tambahan itu akan menyediakan ruang tambahan seluas 11,000 meter persegi untuk membolehkan lebih banyak acara dijalankan serentak. – MalaysiaGazette