Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bercakap pada sidang media khas mengenai pengosongan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 SEPTEMBER 2018.
Bkas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bercakap pada sidang media khas mengenai pengosongan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson (PD) memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi memohon perintah mahkamah bahawa peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai anggota parlimen kawasan itu adalah tidak sah dan terbatal kerana bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Rosmadi Mohd Kassim, memfailkan permohonan itu semalam (26 Sept 2018) di Mahkamah Tinggi bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini, melalui Tetuan Raja Riza & Associates, dengan menamakan Danyal dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai responden pertama serta kedua.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan pada 2 Okt.

Dalam permohonan itu, Rosmadi sebagai pemohon merupakan pengundi yang sah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) pada 9 Mei lepas, di kawasan Parlimen PD juga memohon perintah untuk membatalkan notis bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu bertarikh 20 Sept lepas yang dikeluarkan SPR.

Pemohon juga memohon satu pengisytiharan bahawa kekosongan kerusi bagi PRK PD oleh SPR adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang dan satu perintah injunksi untuk menghalang SPR daripada melaksanakan PRK di kawasan itu yang dijadualkan pada 13 Okt depan sehingga mahkamah memutuskan kes itu.

Rosmadi mendakwa beliau memfailkan permohonan itu atas alasan peletakan jawatan Danyal merupakan pelanggaran sumpah setia yang dibuatnya dan alasan peletakan jawatan itu jelas menunjukkan bahawa responden pertama lebih mengutamakan kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding rakyat Malaysia secara amnya dan pengundi Parlimen PD khususnya.

Pemohon mendakwa bahawa peletakan jawatan responden pertama jelas menunjukkan bahawa beliau lebih mengutamakan kesetiaan kepada Anwar berbanding kepada kerajaan Malaysia.

Dakwanya pada setiap masa yang material, responden pertama bukanlah seorang yang bankrup dan yang tidak mempunyai keupayaan fizikal dan mental untuk menjalankan tugas sebagai anggota parlimen.

Rosmadi juga mendakwa peletakan jawatan Danyal adalah jelas bertentangan dengan kehendak pengundi Parlimen PD yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau pada PRU.

Pemohon mendakwa Danyal telah menghantar surat peletakan jawatannya pada 12 Sept lepas bertujuan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan itu dan tindakan itu bermotifkan politik dan bertentangan dengan polisi awam.

Beliau membuat permohonan itu juga atas alasan tindakan SPR mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen PD tanpa membuat sebarang siasatan juga merupakan suatu kemungkiran tanggung jawab statutori.

— BERNAMA