PNB
Pengerusi Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz sambil diiringi Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) menunjukkan buka panduan mengenai ASNB pada Pelancaran unit amanah harga berubah dan penjenamaan semula dana-dana tetap ASNB di Grand Ballroom, Grand Hyatt Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melancarkan dua dana amanah harga berubah ASN Ekuiti 5 dan ASN Sara 2 hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, PNB berhasrat untuk meluaskan portfolio unit dana amanahnya bagi memenuhi kehendak pelabur yang semakin berubah di samping mengukuhkan kedudukannya dalam menawarkan produk-produk dana amanah harga berubah.

ASN Ekuiti 5 adalah dana pertumbuhan ekuiti yang mensasarkan pelabur generasi muda yang mahukan pertumbuhan agresif modal dan kekayaan di samping menjana peningkatan modal dan agihan yang berpatutan menerusi lebih banyak portfolio pelaburan yang berbeza-beza.

Ia akan melabur di antara 70 peratus sehingga 90 peratus nilai aset bersih (NAV) dalam ekuiti manakala bakinya akan dilaburkan dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran kewangan termasuk aset cair.

Sementara itu, ASN Sara 2 pula adalah dana konservatif aset bercampur yang disasarkan kepada pelabur yang lebih matang dan merancang untuk mendapatkan pendapatan kukuh dalam jangka masa panjang.

Dana tersebut akan melabur di antara 20 peratus sehingga 80 peratus NAV di dalam pendapatan tetap dan instrumen pasaran kewangan manakala bakinya akan dilaburkan dalam ekuiti.

Menurut Presidan dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, walaupun terkenal dengan dana amanah harga tetap yang merupakan satu produk unik di dunia namun firma itu mempunyai tanggungjawab untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai ciri-ciri pelaburan sebenar.

“Suruhanjaya Sekuriti memang menggalakkan PNB supaya memberi pendidikan kepada rakyat Malaysia mengenai ciri-ciri pelaburan sebenar yang memiliki risiko dan pulangan.

“Ciri-ciri tersebut ada di dalam dana amanah harga berubah,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.

Tambahan pula menurut Abdul Rahman, kebanyakan dana amanah di bawah Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) kini sudah mencapai saiz optimum justeru pelancaran dua produk baharu tersebut akan menyediakan lebih banyak peluang untuk pelabur membuat pelaburan.

Harga tawaran bagi ASN Ekuiti 5 dan ASN Sara 2 bagi tempoh 21 hari pertama bermula 24 September lalu adalah RM1 seunit dengan pelaburan minimum sebanyak RM10 dan tambahan pelaburan minimum pula adalah sebanyak RM1.

Sejajar dengan peletakan semula dana-dana harga berubah ASNB sejak Mei lalu, caj jualan bagi ASN Ekuiti 5 dikenakan sehingga lima peratus daripada NAV seunit manakala caj jualan bagi ASN Sara 2 adalah sehingga 3.5 peratus daripada NAV seunit. – MalaysiaGazette