Manchester United mencatatkan rekod keuntungan RM3.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018

MANCHESTER – Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward berkata rekod keuntungan yang dicatat bagi tahun 2018 menunjukkan prestasi kewangan jangka panjang kelab itu terus kukuh.

United merekodkan keuntungan sebanyak 590 juta pound (RM3.2 bilion) sepanjang tahun kewangan berakhir 20 Jun 2018.

Kelab itu menjangka pendapatannya meningkat antara 615 juta hingga 630 juta pound sepanjang tahun kewangan akan datang.

Bagaimanapun, keuntungan operasi kelab itu, 44.1 juta pound mencatatkan penurunan daripada 80.8 juta pound yang direkodkan tahun lalu.

Penyusutan keuntungan operasi itu disebabkan sebahagian besar kadar cukai pendapatan korporat Kerajaan Pusat AS dikurangkan daripada 35 peratus kepada 21 peratus.

Hutang bersih kelab itu juga melonjak sebanyak 19.1 peratus kepada 253.7 juta pound, yang mana menurut kelab itu ia disebabkan kadar pertukaran mata wang yang sentiasa turun naik.

Menurut kelab itu, United membayar gaji berjumlah 295.9 juta pound sepanjang musim 2017/18 iaitu meningkat 32.4 juta berbanding tahun sebelumnya.

Akaun kelab itu menyebut ia disebabkan kenaikan gaji pemain berkait rapat penyertaan dalam Liga Juara-Juara anjuran UEFA walaupun kehadiran Alexis Sanchez juga dijangkakan memberi impak terhadap prestasi kewangan tersebut.

Bagaimanapun United masih di hadapan dengan lebihan 90 juta pound berbanding jiranya, Manchester City.

City merekodkan pendapatan berjumlah 500.5 juta pound bagi tahun kewangan kelab 2017/18.

Kata Woodward, jangkaan peningkatan pendapatan bagi tahun akan datang menunjukkan prestasi kewangan kukuh jangka panjang kelab itu sejajar dengan pasaran pelaburan pemain yang semakin kompetitif.- MalaysiaGazette