Thursday, March 28, 2024
Home Seni Hidup Filem bertema PRU14 hanya kutip RM58,411.50

Filem bertema PRU14 hanya kutip RM58,411.50

Filem Rise: Ini Kalilah dibarisi pelakon popular tanahair.

KUALA LUMPUR – Filem Rise: Ini Kalilah hanya mengutip jumlah kutipan tiket sebanyak RM58,411.50 selepas 14 hari ditayangkan.

Jumlah kutipan filem yang bertemakan perpaduan dan berinspirasikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan pada laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Filem tersebut menampil kolaborasi tiga pengarah terkenal iaitu Saw Teoh Hin yang mengarah filem Puteri Gunung Ledang, Nik Amir Mustapha (Terbaik Dari Langit) dan Prem Nath (Vere Vazhi Ille).

Ia diterbitkan oleh Fred Chong dan mula ditayangkan sempena Hari Malaysia pada 13 September lalu.

Rise: Ini Kalilah mengisahkan inspirasi daripada semua kelompok rakyat Malaysia yang berganding bahu keluar mengundi untuk sebuah negara yang baharu pada 9 Mei lalu.

Filem tersebut dibarisi pelakon Mira Filzah, Remy Ishak, Yana Samsudin, Sangeeta Krishnasamy, Mark O’dea, Mustaqim Bahadon, dan Sharifah Sakinah.

Ketika ini Rise: Inikalilah yang berdurasi 100 minit masih lagi ditayangkan di pawagam.

Sementara itu filem Munafik 2 arahan  Syamsul Yusof kekal mencatat kutipan tertinggi setakat ini bagi tahun 2018 iaitu sebanyak RM37,222,610.38 diikuti filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid  dengan kutipan RM31,356,769.43.

Kedua-dua filem masih lagi ditayangkan di pawagam. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.