Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan jeruk kulit limau yang dilapor dicemari dengan plumbum sehingga mengundang keresahan pengguna tidak pernah diimport ke Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan sebentar tadi berkata, pihaknya telah membuat semakan dengan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia pada tahun lalu sehingga kini dan mendapati produk makanan keluaran Jiabao Jiuzhi dari China itu tidak diimport ke sini.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya tidak memandang ringan laporan tersebut dan telah mengambil langkah berjaga-jaga melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Antaranya dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis jeruk buah kering termasuk jeruk kulit limau yang diimport dari China di semua pintu masuk negara, jelasnya.

“Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya dan adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terbabit seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 telah memperuntukkan mana-mana pihak yang terbabit mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, media melaporkan jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari China yang popular di beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura dikesan dicemari plumbum oleh pihak berkuasa China.

Plumbum adalah bahan cemar yang hadir di dalam udara, air, tanah, produk hasil pertanian, makanan dan barangan lain seperti cat.

Jelas Noor Hisham, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan gangguan kepada perkembangan minda kanak-kanak dan meningkatkan tekanan darah bagi orang dewasa.

“Seandainya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusyikilan, sila berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette