Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melawat fasiliti yang disediakan pada Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 SEPTEMBER 2018

SERDANG – Kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada waris pesakit untuk kemudahan Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismal berkata, mereka hanya perlu membayar deposit kunci ketika daftar masuk sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata, kerana kemudahan itu percuma, sudah pasti kriteria tertentu telah ditetapkan.

“Hanya waris pesakit daripada golongan yang berkelayakan terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan tidak mempunyai saudara-mara yang tinggal berhampiran akan dibenarkan menginap di Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang.

“Istimewanya kemudahan ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut melaksanakan projek perintis dengan menyediakan khidmat kaunseling yang dikendalikan oleh sukarelawan kaunselor di kalangan Friends of YKN dikenali Sukarelawan Kaunselor Kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie selaku badan korporat yang menaja kemudahan itu sebagai tanggungjawab sosial korporat dengan kerjasama YKN.

Wan Azizah turut menasihati waris pesakit agar menghargai dan menjaga kemudahan tersebut demi kelangsungan penghuni lain yang memerlukan pada masa akan datang.

Beliau juga menyeru badan korporat lain untuk tampil dan membantu mereka yang kurang berkemampuan dan mencontohi TNB atas sumbangan tajaan kemudahan itu.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam membantu kebajikan dan keperluan lapisan masyarakat di negara ini.

“Perancangan dan pelaksanaan kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik amat memerlukan kerjasama semua pihak khusus syarikat korporat, NGO dan individu,” katanya.

Sementara itu, Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang memulakan operasi awalminggu lalu dan mampu menempatkan seramai 106 penghuni dalam satu masa.

TNB tampil menaja sebanyak RM1.2 juta dalam menaik taraf kemudahan tersebut. – MalaysiaGazette