Barang yang dirampas susulan penahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga bekas kakitangan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) kerana mengamuk dan mengugut isterinya di Taman Kluang Indah. -Bernama
Barang yang dirampas susulan penahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga bekas kakitangan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) kerana mengamuk dan mengugut isterinya di Taman Kluang Indah. -Bernama

KLUANG – Seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga bekas kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ditahan polis kerana mengamuk dan mengugut isterinya di sebuah rumah di Taman Kluang Indah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata pihaknya menerima laporan pada jam 7.45 pagi menyatakan suspek mengamuk di garaj depan rumah sambil memegang parang dan sebutir bom dipercayai jenis mortar.

Katanya, bertindak atas laporan itu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang dikejarkan ke lokasi dan cuba memujuk suspek menyerah diri.

“Suspek dipercayai sudah tidak lagi tinggal serumah dengan isterinya itu. Ketika kejadian, lelaki berkenaan dikatakan ingin bertemu dengan anaknya tetapi tidak dibenarkan, mengakibatkan dia menjadi berang.

Menurut Mohd Abduh lagi, usaha untuk memujuk suspek berlanjutan sehingga tiga jam tetapi lelaki itu masih berdegil dan enggan menyerah diri.

Dalam proses itu, khidmat polis Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (AMRA) turut dipanggil untuk membantu menggunakan ‘taser gun’.

Katanya, suspek kemudiannya berjaya ditahan setelah beberapa anggota polis berjaya menyerbu masuk ke kawasan garaj itu pada pukul 10.45 pagi.

“Turut dirampas ialah sebutir bom berkarat, dua bilah parang berukuran 36 cm, sebilah pisau 25 cm dan sebilah pisau sembilan sentimeter,” tambah Mohd Abduh.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat,” katanya.

Beliau berkata Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret esok.

— BERNAMA