Terhempas
Pesawat Air Niugini terhempas selepas gagal mendarat kurang 150 meter dari landasan Lapangan Terbang Chuuk, Weno, Micronesia.

SYDNEY – Sekumpulan kapal kecil menyelamatkan kesemua 47 penumpang dan anak kapal pesawat Air Niugini yang terhempas ke dalam laut  yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang Micronesia, sebuah negara kecil di Pasifik Selatan.

Pesawat Boeing 737 itu terhempas ke dalam air yang dikelilingi pulau-pulau kecil kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan, kata Pengurus Besar Lapangan Terbang Chuuk di Weno, Micronesia.

“Pesawat tersebut sepatutnya mendarat tetapi terlebih dahulu jatuh ke dalam air kira-kira 150 meter dari landasan.

“Kami betul-betul tidak tahu apa yang berlaku. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh beberapa buah bot dan hanya kapal terbang tersebut sahaja yang tenggelam,” katanya kepada Reuters.

Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan sedang mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Sebuah video yang diterbitkan oleh Radio New Zealand dan beberapa gambar yang dimuatnaik di Twitter menunjukkan separuh badan pesawat telah tenggelam.

Air Niugini di Port Moresby tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.-Agensi

 

Tinggalkan Jawapan