Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Rizab Malaysia pada akhir Ogos 2018 tetap boleh guna, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$104.41 bilion, mengikut format Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$120.3 juta.

“Bagi tyempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman dalam mata wang asing yang disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan diunjurkan sebanyak US$241.0 juta.

“Jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak USD17,684.3 juta, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran kewangan,” kata BNM.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2,618.5 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$108.6 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

— BERNAMA