Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Biarpun dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Sungai Kansis dan Seri Setia, UMNO dan Pas bagai senada untuk bekerjasama dan menujukkan keserasian namun PRK Port Dickson nada kedua-dua parti itu agak berbeza.

Mana tidaknya, UMNO tidak meletakkan calon dan Pas terus beriya-iya untuk menjadi hero dalam melawan PKR.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu tidak berkecil hati dengan keengganan UMNO membantu kempen calonnya pada PRK Port Dickson kali ini.

Bagaimanapun Pas masih mengharapkan ahli dan penyokong UMNO dan BN dapat memberi undi kepada calon mereka biarpun memboikot PKR berkenaan.

“Bukan semua pemimpin UMNO sepakat. Ada yang setuju dengan Presiden dia, ada yang tak setuju.

“Kita harap undi kita tak pecahlah, yang pecah undi orang lain. Undi daripada ahli tegar Pas tidak akan berubah.

“Kita harap pengundi yang berpihak kepada BN sebelum ini juga berpihak kepada kita. Dalam PRK Sungai Kandis dan Seri Setia kita lihat undi untuk kita meningkat,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Pas mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, sebagai calon parti itu bagi menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas akan terus menggerakkan jentera parti itu bagi berdepan parti kerajaan dan calon-calon Bebas yang akan merebut kawasan itu.

“Dalam politik ini kita tidak boleh bermusuh selama-lamanya dan tak boleh berkawan selama-lamanya. Itu konsep yang kita kena faham.

“Pas banyak meneroka pengalaman politik sejak 1955 lagi. Kita pernah bersama UMNO, kita sudah ikut serta macam-macam kerajaan. Kerajaan campuran, kerajaan pakatan. Jadi kita tidak ada masalah,” katanya.

PKR Port Dickson bakal memperlihatkan pertembungan lebih tiga penjuru antara PKR, Pas dan dua lagi calon Bebas.

Terbaharu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Isa Samad nekad menjadi calon Bebas yang akan menentang Anwar di kawasan itu.

Ditanya mengenai tindakan bekas Pengerusi Felda itu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak rugi apa-apa.

“Yang pecahnya undi UMNO, bukan undi kita. Pas tak rugi apa-apa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette