Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO boleh bangkit semula setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Menurut beliau, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2018), semua ahli dan kepimpinan parti itu perlu merebut peluang ini supaya boleh bangkit dari abu kekalahan.

“Untuk kita mengenal siapa di kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama untuk kepentingan sendiri.

“UMNO kini di persimpangan, ia memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain ini peluang untuk UMNO bangkit semula dari abu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Untuk rekod, ini kali pertama UMNO mengadakan perhimpunan sebagai pembangkang setelah dibadai perubahan drastik pada pilihan raya lalu.

Lebih teruk apabila seorang demi seorang pemimpin lama parti itu bertindak keluar parti secara tiba-tiba.

Antaranya Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman bertindak keluar parti minggu lalu.

Bekas Perdana Menteri itu turut berkata, tiba masanya untuk semua kepimpinan dan ahli-ahli UMNO terus mengukuhkan saf dan jentera demi memastikan parti keramat itu tidak terus terkubur.

“Saya yakin UMNO yang dipimpin Zahid akan berjaya mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang semula untuk bangsa, agama dan negara,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membayangkan UMNO akan berhadapan kejatuhan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada Najib. – MalaysiaGazette