Persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2018 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bakal tiba tidak lama lagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 SEPTEMBER 2018
Persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2018 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bakal tiba tidak lama lagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO akan berdepan kejatuhan pasti menjadi kenyataan sekiranya presiden parti itu gagal untuk memulihkan UMNO dalam masa terdekat.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusuff berpandangan, sebagai presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu membuat percaturan yang tepat dan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan UMNO kekal relevan.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, bekas Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) itu melihat sehingga kini Ahmad Zahid belum mampu menunjukkan hala tuju yang benar-benar jelas kepada pemimpin dan ahli UMNO.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan ramai yang tertanya-tanya ke mana sebenarnya arah UMNO selepas ini, tambahan pula apabila keluar pelbagai kenyataan bercampur- baur dan saling bertentangan daripada pemimpin UMNO.

“Perkembangan ini tidak memberikan gambaran wujudnya perpaduan sesama sendiri.

“Banyak kritikan keras dibuat terhadap Zahid bukan sahaja oleh pemimpin yang meninggalkan UMNO seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed malah oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, yang menyebut Zahid gagal memainkan peranan sebagai Presiden UMNO dan memilih pendirian berdiam diri dalam banyak perkara,” katanya.

MGF11042017_IKSIM02
Dr Kamarul Zaman Yusuff

Dr Kamarul mengulas kenyataan Dr Mahathir yang membayangkan UMNO, sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ramai anggota parti  berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“UMNO kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk UMNO kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan UMNO,” katanya pada mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, Ahmad Zahid tiada pilihan melainkan perlu segera menunjukkan kepimpinan yang tegas dengan mengubah UMNO menjadi pembangkang yang kuat dengan menjuarai isu-isu yang boleh mengubah kebencian rakyat terhadap UMNO.

Katanya, corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Zahid sekarang seperti banyak berdiam diri dibimbangi tidak mampu mengawal dan menyatukan seluruh pemimpin UMNO di dalam satu saf.

“Apa lagi dengan tekanan-tekanan yang dikenakan ke atas pemimpin UMNO selain ketiadaan jawatan dan imbuhan yang mampu diberikan kepada mereka, lebih ramai pemimpin UMNO dijangka keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan,” katanya.

Ahmad Zahid, katanya, mempunyai platform yang luas semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang bakal mengambil tempat esok.

Ini kali pertama Ahmad Zahid akan berucap sebagai Presiden UMNO setelah dipilih pada 30 Jun lalu. -MalaysiaGazette