Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO perlu segera keluar dari sindrom penafian ekoran kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Ujarnya, ahli UMNO tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran dan kritikan kepada parti adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu.

“Hujah sebegini sudah lapuk, sudah tidak boleh diterima. Sebaliknya, kita mesti menerima naratif bahawa, selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan kita,” katanya ketika merasmikan Pergerakan Sayap Perhimpunan Agung UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Malah katanya, segala teguran dan kritikan sewajarnya menjadi asas yang menyedarkan kepimpinan bahawa UMNO memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.

“Kegagalan UMNO memimpin bangsa Melayu dengan kompas moral dan nilai, telah mendatangkan impak sangat luar biasa kepada kedudukan orang Melayu.

“Yang terhambat, adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu, pada pandangan jujur saya, sedang berhadapan dengan apa yang saya panggil zaman kesusutan atau “the age of decline”,” katanya di hadapan lebih 2,000 perwakilan UMNO.

Malah dalam ucapannya, beliau sebagai orang nombor dua UMNO memohon maaf secara terbuka kepada akar umbi keranagagal untuk terus mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas 9 Mei lalu.

“Saya dan kepimpinan baru UMNO mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. Walaupun tidak sedikit usaha yang telah kita semua curahkan dalam pilihanraya lepas.

“Tetapi ternyata kita gagal untuk menongkah gerak gempa yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Malaysia. Maka kita terimalah hakikat yang sangat pahit ini,” katanya dalam nada sebak. -MalaysiaGazette