Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah parti terbesar, UMNO tidak akan runtuh atau hancur seperti dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecuali ia diharamkan seperti tahun 1987.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, tetapi parti itu masih memenangi 54 kerusi Parlimen menjadikan kerusi terbanyak yang dimenangi oleh satu parti.

Katanya, sejarah telah memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti yang bergelar pembangkang kepada kerajaan BN sebelum ini seperti PKR hanya mendapat pencapaian tertinggi 31 kerusi Parlimen, DAP (38) dan Pas (23).

“UMNO sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi, masih satu parti terbesar dalam Parlimen.

“Kegagalan BN disebabkan komponennya gagal menyumbangkan kerusi. Malah 46 peratus dari pengundi Melayu masih memberikan kepercayaan kepada UMNO, iaitu terbanyak berbanding diperolehi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu 20 peratus dan PKR 10 peratus.

“Ini jelas orang Melayu masih mempercayai UMNO. Saya cukup yakin dengan kepimpinan baru ini, halatuju baru serta semangat baru UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali,” katanya dipetik dari blog beliau, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, orang Melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjaga kepentingan dan hak mereka dan umat Islam.

Katanya, beberapa keputusan kerajaan PH jelas menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Kegagalan mereka dalam menjaga ekonomi masyarakat Melayu luar bandar akan memperkukuhkan kepercayaan bahawa UMNO sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup mereka.

“Jadi tidak ada sebab kenapa UMNO akan berkubur,” ujarnya.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan PH menunaikan manifesto 100 hari sangat mengecewakan rakyat dan banyak pihak yang mengundi mereka atas harapan akan tertunai impian yang dijanjikan.

Sehingga hari ini, katanya, kerajaan masih berdolak-dalih dengan janji mereka, malah kenyataan lucu dari menteri mereka menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan PH.

Kata Ismail Sabri, rakyat sedang membandingkan polisi kerajaan BN yang sangat mesra rakyat berpendapatan rendah.

“Mereka sudah merasai kehilangan sentuhan UMNO dan mahu UMNO kembali. Jadi siapakah yang akan runtuh?” soalnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan