Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika meninjau persiapan menghadapi Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Isa Samad yang mengumumkan bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

“Beliau (Isa) yakin menang. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berada di PWTC untuk meninjau persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) yang akan bermula malam ini hingga Ahad ini.

Sebelum itu beliau menghadiri program tertutup anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn.

Isa yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan membuat keputusan bertanding kerana UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

Beliau mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli UMNO tiga hari lalu. – MalaysiaGazete