Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menggariskan lima perkara untuk dijadikan pra syarat dalam usaha membangkitkan gerakan itu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, lima perkara berkenaan ialah solidariti, sinergi, survival, sukarela dan strategi.

Katanya, langkah bersolidariti yang dimaksudkan adalah mempertahankan institusi kepresidenan agar ia tidak melemahkan UMNO.

“Kita yakin dan optimis dengan dedikasi YB Datuk Seri Presiden, kita mampu merapatkan dan memperkukuhkan saf kepimpinan dan membina kesepaduan.

“Pergerakan Puteri, sederap seiring dan senada dengan roh perjuangan yang dilaungkan YB Datuk Seri Presiden, UMNO bangkit, kita bangkit,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini hari ini.

Zahida berkata, langkah sinergi yang perlu dilakukan oleh Pergerakan Puteri adalah menuntut agar setiap ahli bekerjasama dan saling membantu untuk menghasilkan impak maksimum terhadap usaha yang dilaksanakan.

Bagi teras ketiga iaitu survival, Zahida berkata, Puteri perlu menyemai di dalam jiwa terhadap semangat untuk terus hidup dan berjuang, walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan tohmahan.

Katanya, di saat sukar ketika ini, jiwa yang kental dan survival akan menentukan kelangsungan perjuangan parti.

“Biarlah apa orang luar nak kata. Pergerakan Puteri akan tetap survived dan meneruskan perancangan dan program sedaya mungkin.

“Kekentalan mengharungi keperitan ini, Insyaallah akan mematangkan perjuangan politik kita,” ujarnya.

Untuk teras yang keempat pula, beliau berkata, adalah amat perlu bagi Puteri menanam dalam jiwa semangat sukarela bagi memartabatkan parti.

Jelasnya, sudah sampai masanya Puteri bergandingan secara sukarela dan sepenuh jiwa untuk turun membantu bagi menjayakan apa sahaja program Pergerakan Puteri tidak kira di Cawangan, Bahagian, Negeri dan Nasional.

Sementara, langkah menggunakan strategi bagi teras yang kelima pula, Zahida berkata, dalam menghadapi percaturan politik baru hari ini, UMNO perlu menyakini strategi sebagai elemen terpenting.

Katanya, setiap pencaturan Puteri bukan menggunakan kaedah menerpa secara semberono, sebaliknya gerak kerja mestilah berstartegik dengan mengambil kira keperluan kumpulan sasar, perancangan jangka masa pendek dan panjang, implikasi setiap pilihan serta keputusan yang diambil.

“Lima ‘S’ iaitu Solidariti, Sinergi, Survival, Sukarela, Strategi akan menjadi Anjakan Paradigma kepada Puteri bangkit yang akan menjayakan hala tuju Pergerakan Puteri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zahida turut mencadangkan dua perkara yang perlu diambil serius oleh UMNO.

Yang pertama katanya, parti itu perlu menangani budaya ‘war lord’ kerana ianya mampu meruntuhkan kesepaduan parti.

Perkara kedua yang perlu dipandang serius katanya, ialah peremajaan parti yang perlu difikirkan oleh pucuk pimpinan UMNO. – MalaysiaGazette