Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.
KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengakui kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu disebabkan kesilapan dan salah laku kepimpinan parti.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akibat daripada kesilapan itu, rakyat yang sebelum ini mendokong dan mengangkat UMNO, dalam sekelip mata menjatuhkan hukuman yang berat kepada BN sehingga kehilangan kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri.
“Kerana sikap kealpaan parti kita, rakyat telah menolak dan hilang keyakinan kepada kita, lantas dengan mudah memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).
“Terimalah kekalahan ini dengan hati terbuka dan percayalah, kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat dan hebat, tetapi kerana kesilapan dan salahlaku kita sendiri.
“Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka Allah menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit sekali,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, punca kekalahan juga disebabkan sikap sesetengah pemimpin berebut jawatan dan kuasa sehingga berantakan sesama sendiri.
“Kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup kita perjudi dan khianati,” ujarnya.
Namun, Dr Asyraf Wajdi menjelaskan, UMNO tidak bersalah dalam hal itu, kerana mana mungkin parti yang memerdekakan negara ini menerima takdir yang begitu buruk sekali.
“Mana mungkin parti yang telah mengangkat martabat Islam begitu hodoh sekali rupanya. Yang perlu dipersalahkan adalah para pendokong dan pemegang amanah perjuangan UMNO yang telah mengkhianati dan menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman Islam.
“Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa.
“Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat  dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan,” katanya.
Beliau turut menyindir segelintir pimpinan yang telah meninggalkan parti di kala dilanda badai, kononnya lompat kerana prinsip perjuangan.
“Kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Kami tahu sebab-sebabnya. Ingatlah, UMNO yang kalian sisihkan inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak.
“Ingatlah jerit perih wanita (Pergerakan Wanita) yang setia memerah keringat turun naik dari rumah ke rumah, puteri-puteri (Pergerakan Puteri) meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian.
“Pergerakan Pemuda dengan ini mendesak pucuk pimpinan agar mengambil tindakan tegas bagi petualang ini termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini, akhirnya sanggup curang kepada akar umbi,” tegasnya.
Katanya, Pemuda yang diterajuinya tidak sesekali menjadi “Seludang Menolak Mayang” dan melupakan parti yang banyak jasanya kepada pergerakan itu.
“Malah kita akan terus setia bersama wadah keramat ini bak kata pujangga, Sakit sama mengaduh, luka sama mengeluh,” kata beliau.
Beliau juga menzahirkan rasa sedih dan kecewa dengan suara sumbang yang meremehkan perjuangan UMNO berpaksikan Melayu dan Islam selepas pasca PRU14.
Katanya, ia seolah keputusan PRU14 itu mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang menolak politik berasaskan kaum dan agama, sedangkan tidak ada satu kajian yang membuktikan kenyataan itu.
Jelas beliau, kebanyakan kajian yang dijalankan badan bebas dan berkecuali menggariskan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada penolakan rakyat kepada UMNO dan BN seperti skandal kepemimpinan dalam kes 1MDB, kelemahan urus tadbir, integriti, kos sara hidup dan GST yang menyentuh perasaan dan perut rakyat yang tiada kaitan sama sekali dengan orientasi perjuangan memartabatkan Bumiputera-Melayu-Islam.
“Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mula rasa bersalah atau “apologetic” apabila berbicara mengenai agenda agama dan bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan