Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA NERANG – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang untuk terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggal pentadbiran selama lima tahun, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya usaha beberapa pihak termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin mengambil alih jawatan perdana menteri secepat mungkin adalah satu tindakan yang tidak mengikut moral politik yang sepatutnya.

“Kita tidak mahu orang yang bernafsu memerintah kerana bimbang bila jadi pemimpin mereka tidak pegang amanah yang diberikan. Jadi biar perdana menteri sekarang tadbir negara selagi dia mampu untuk menjalankan tugas.

“Walaupun tak sebati (sependapat), kena bagi tempoh yang cukup dan jangan berhenti (mentadbir) tengah jalan kerana Tun Mahathir banyak pengalaman dan mampu untuk laksanakan tugas,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi menyampaikan ucaptama pada Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KIDU Zawawi Ahmad dan Pengerusi Majlis KIDU Datuk Dr Abd Isa Ismail.

Ditanya mengenai kewajaran Anwar bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dalam usaha menjadi perdana menteri, Abdul Hadi berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan bagi menentukan siapa yang patut mentadbir negara.

Mengulas sama ada PAS bekerjasama dengan UMNO untuk menghadapi PRK Port Dickson, beliau berkata kerjasama yang ada ialah persefahaman mengenai calon seperti semasa PRK Balakong dan Seri Setia.

“Bila UMNO tidak letak calon, PAS letak calon jadi itu kerjasama la… Dari aspek gerak kerja pula kita masih belum tahu lagi tapi sekiranya UMNO hendak tolong kita berbesar hati, nak bagi derma pun boleh.

“Dari segi undi pula, tidak boleh mengharapkan undi daripada ahli PAS sahaja kerana ahli kita tidak cukup sebab itu kena ada undi parti lain juga baru boleh cukup untuk menang. Tak mustahil untuk PAS menang sebab apapun boleh jadi dalam politik,” katanya.

PRK Port Dickson pada 13 Okt ini bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di antara Anwar sebagai calon Pakatan Harapan, calon PAS Lt-Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan