Khalid Samad

PUTRAJAYA – Teka teki mengenai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu akan terjawab Selasa ini apabila individu yang menjawat jawatan itu diumumkan, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata surat pelantikan kepada individu berkenaan yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan itu telah diserah dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

“Nama calon itu kita sudah ada, surat pelantikan juga telah diserahkan…Selasa ini kita umumkannya melalui satu sidang media khas.

“Calon yang dipilih ini mempunyai latar belakang yang baik dengan pernah menjawat pelbagai jawatan seperti Pegawai Daerah, Yang Dipertua Perbandaran serta berkhidmat di Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Komuniti Dan Pesta Air Oxygenation Putrajaya di sini hari ini.

Beliau mengulas pengganti Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang meletak jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 1 September lalu selepas berkhidmat lebih tiga tahun.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata pemilihan Datuk Bandar yang baharu tidak akan melalui proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya melalui perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta jemaah menteri.

Susulan itu, Khalid berkata pihaknya telah menyerahkan tiga nama kepada Perdana Menteri sebagai calon untuk diangkat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Berhubung rombakan pentadbiran DBKL, Khalid berkata ia lebih kepada soal bagaimana badan itu perlu berfungsi selaras dengan objektif penubuhannya dan tidak akan melibatkan pertukaran pegawai yang banyak.

Beliau berkata pertukaran ketara hanya akan dilakukan selepas pihaknya menetapkan satu arah tuju yang baharu untuk DBKL dan PBT di bawahnya dan pegawai berkenaan gagal menjalankan tugas mengikut acuan baharu tersebut.

Beliau berkata kebanyakan pegawai telah mempunyai disiplin tugas tertentu dan hanya menjalankan tugas berdasarkan arahan dan perancangan yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Mereka hanya bergantung kepada direction yang dibuat oleh kepimpinan terdahulu, khususnya Menteri Wilayah dan jika hala tuju diberi tidak jelas, bagaimana untuk kita hakimi prestasi mereka berdasarkan tugas yang dibuat.

“Sekarang, di bawah kepimpinan baharu, kita tetapkan sasaran dan Indeks Prestasi Utama sendiri, kemudian kita lihat sama ada mereka boleh bekerja dengan baik atau sebaliknya,” katanya.

Mengenai karnival itu, Khalid berkata beliau berpuas hati dengan sambutan yang diberikan kepada program yang memasuki tahun ke-12 penganjuran dengan lebih 2,000 orang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan.

Sebanyak 22 aktiviti diadakan sepanjang tiga hari karnival yang bermula semalam, dengan aktiviti yang bakal mencuri tumpuan ialah pertandingan perahu panjang, rowing dan kayak yang akan disertai oleh 2,357 peserta daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan serta univesiti, katanya.

— BERNAMA