Anwar Ibrahim
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) diiringi isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) berbual dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kanan) ketika hadir pada Pelancaran Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak tertentu supaya menghentikan tindakan mengapi-apikan hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Menteri Kewangan itu tanpa merujuk spesifik pihak yang dimaksudkannya memberitahu, puak berkenaan sepatutnya berniat baik dan mendoakan agar hubungan beliau dengan Mahathir lebih akrab dan kukuh.

Katanya, pihak tertentu itu mahupun rakyat tidak seharusnya mengungkitkan semula kisah lama yang sudah berlalu dan dilupakan, sebaliknya kini terjalin demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Hampir setiap hari saya kedengaran kenyataan bahawa saya bergaduh dengan Dr Mahathir.

“Apa yang saya ingin nyatakan di sini ialah sudahlah, saya bergaduh dengan Tun Mahathir 20 tahun lalu dan baru baik semula.

“Berdoalah untuk kami terus baik, jangan jadi hati busuk mahu kami bergaduh,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Port Dickson di sini malam tadi.

Pembukaan Bilik Gerakan Utama itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Calon PKR itu juga menasihatkan rakyat supaya menyokong pentabiran Mahathir yang sanggup mengorbankan masa dan bersusah payah menyelamatkan negara.

Katanya, sewaktu berada di penjara, beliau berfikir sepanjang masa dan terkejut, betapa tegas dan serius pemimpin berusia 90 tahun itu sanggup kembali aktif berkempen memujuk rakyat serta semua sekutu Pakatan Harapan untuk berubah.

Malah ujar Anwar, sejak dibebaskan empat bulan lalu, beliau telah melawat beberapa buah negara dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat luar yang kagum dengan kemampuannya memaafkan Mahathir.

Katanya, mereka juga kagum bagaimana Malaysia boleh melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan tanpa pertumpahan darah menerusi pilihan raya umum lalu.

“Jika ditanya apakah perubahan ini disebabkan Melayu, Cina atau India secara solo, memang tidak.. sebenarnya kita berubah kerana semua rakyat tanpa mengira kaum bangkit dan bukan hanya sesuatu kaum sahaja.

“Kini saya hendak melangkah ke Parlimen untuk mereformasikan dan licinkan perjalanan jawatankuasa Parlimen di Dewan Rakyat sementara Tun M dan Wan Azizah mentadbir negara dan rakyat.

“Rakyat seharusnya memberikan sokongan dan doa kepada perdana menteri agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik untuk mentadbir negara pada saat ini.

“Giliran Tun Mahathir biar dia jalankan negara dengan baik dengan sokongan kita, jika semuanya berjalan baik, rakyat sokong, mari giliran saya, saya sambung pula,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan