KUALA LUMPUR  – Sebanyak 32 sekolah terpilih untuk mengikuti program School Attack: Farm To School anjuran Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. (Farm Fresh) bermula bulan lalu.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, program tersebut melibatkan 16 sekolah kebangsaan dan bakinya sekolah menengah yang dipilih di setiap negeri dan wilayah persekutuan

Beliau berkata, program School Attack: Farm To School bertujuan menerapkan amalan minum susu segar dalam kalangan pelajar sekolah di samping meluaskan manfaat susu yang mampu membantu meningkatkan kecerdasan dan kesihatan.

Jelas beliau, Farm Fresh turut ingin mewujudkan generasi yang meminum susu segar sejak usia kanak-kanak sehingga dewasa terutama dalam proses peringkat tumbesaran.

“Program ini sempena Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 merupakan sebahagian kempen minum susu syarikat yang dijalankan sepanjang masa. Dalam program pendidikan susu khas untuk golongan ini, kami mahu menyebarkan khasiat susu dan mengajar mereka mengenai cara pengambilan susu yang betul.

“Skuad kami akan mengunjungi sekolah yang terpilih untuk berinteraksi dengan pelajar dan guru mengenai kebaikan susu menerusi aktiviti yang ditetapkan. Namun yang lebih penting, kami ingin mendidik pengambilan susu segar yang kaya dengan vitamin semulajadi, tiada bahan pengawet dan campuran bendasing lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Farm Fresh juga merupakan penaja utama Program Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 anjuran bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilancarkan bulan lalu.
Farm Fresh juga merupakan penaja utama Program Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 anjuran bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Azmi menambah, menerusi program School Attack: Farm To School, sekolah yang terpilih akan diberi masa selama dua jam untuk menjalankan aktiviti berkaitan program.

Jelas beliau, setiap sekolah terlibat mengatur 40 pelajarnya yang terdiri pelajar Tahun Tiga untuk kategori sekolah rendah manakala Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga untuk kategori sekolah menengah menyertai pertandingan itu.

“Mekanisme aktiviti menggariskan setiap sekolah perlu menganjurkan dua jenis permainan atau sukan rakyat dengan tempoh 30 minit setiap permainan. Pelajar yang terbabit juga perlu berhimpun di gerai pameran Farm Fresh dan menyampaikan taklimat mengenai kebaikan amalan minum susu serta manfaat kesihatan lain dengan kreativiti sendiri selama 30 minit.

“Baki 30 minit lagi akan digunakan untuk pemberian susu segar UHT Farm Fresh secara percuma daripada trak susu kepada pelajar, di samping sesi bergambar. Pihak Farm Fresh juga menganjurkan program Menjejak Juara menerusi acara lari pecut. Dalam program ini, enam pelari pecut dipilih mewakili sekolah untuk bertanding lari pecut 100 meter,” katanya.

20180815_103114
Farm Fresh ingin mewujudkan generasi yang meminum susu segar sejak usia kanak-kanak sehingga dewasa terutama dalam proses peringkat tumbesaran.

Azmi berkata, setiap sekolah menengah juga diminta menyediakan enam pelari terpantas untuk dicatatkan masa dengan dua daripadanya akan dipilih sebagai wakil bagi negeri masing-masing.

“Kita telah ke Putrajaya, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Selangor dan Kuala Lumpur. Destinasi seterusnya adalah ke selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor disusuli pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ,” katanya.

Sementara itu Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 merupakan anjuran bersama Farm Fresh dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebanyak enam pemenang keseluruhan akan diberikan anugerah semasa majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan pada 17 Oktober ini.

Anugerah ini akan diberikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.

20180813_092817
Sekolah yang terpilih akan diberi masa selama dua jam untuk menjalankan aktiviti berkaitan program.

Johan akan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, naib Johan RM4,000 manakala tempat ketiga akan menerima RM3,000.

Hadiah sagu hati pula akan menerima hamper barangan bersama sijil penyertaan.

Setiap anugerah wang tunai itu diagihkan kepada tiga pihak membabitkan 60 peratus diberikan kepada pengurusan kantin, 30 peratus untuk pengurusan sekolah manakala baki 10 peratus akan diserahkan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru. – MalaysiaGazette