UMNO
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diirngi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kepimpinan UMNO yang lain ketika menyanyikan lagu UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat pergerakan bagi tiga sayap pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pagi ini.

Majlis perasmian bagi perhimpunan tersebut bermula pukul 8.10 pagi dengan dimulai upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, nyanyian lagu pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita, nyanyian lagu UMNO dan sesi bergambar kenangan bersama Ahli Majlis tertinggi parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di dataran di hadapan Dewan Merdeka bagi acara perasmian pukul 8 pagi disambut Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berdasarkan pemerhatian, ketika nyanyian lagu-lagu UMNO sedang berkumandang ada segelintir di antara perwakilan dilihat menitiskan air mata.

Tidak kurang juga ada yang kelihatan sugul dan ada juga yang terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila dapat bertemu rakan dan taulan.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini diadakan selama dua hari sahaja bermula hari ini dan akan berakhir esok tidak seperti kebiasaan iaitu empat hari.

Ini merupakan perhimpunan pertama UMNO selepas parti itu kehilangan kuasa sebagai pemerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan