UMNO
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 29 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berlangsung dalam suasana yang pelik apabila media tidak dibenar membuat liputan ketika perbahasan.

Malah, layar besar yang dipasang di laman utama bangunan tersebut turut tidak memaparkan ucapan pembahas-pembahas menyebabkan ramai pengunjung yang hadir terpinga-pinga.

Pengumuman untuk tidak membenarkan sesi perbahasan diikuti oleh media diumum pengerusi tetap setiap pergerakan sejurus selesai ucapan dasar oleh ketua pergerakan masing-masing.

Sehingga laporan ini ditulis, media hanya mengikuti siaran ulangan ucapan dasar oleh ketua pergerakan sayap-sayap yang dipasang menerusi beberapa skrin.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Noraini Ahmad ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak pengurusan UMNO dan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau meminta maaf kepada semua pihak ekoran kesulitan yang dihadapi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan