UMNO
Para perwakilan Pemuda UMNO melaungkan 'Hidup UMNO' pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO perlu mengubah imej mewah dan elitis mereka jika mahu mendapatkan semula sokongan rakyat.

Wakil Jurucakap Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Muhamad Sufian Maradzi berkata, sikap suka menunjukkan kemewahan kepada rakyat di bawah akhirnya memberi kesan buruk kepada parti.

“Kita suka menunjukkan kemewahan, kita menunjukkan sikap elitis kita kepada rakyat di bawah, akhirnya kita menerima kekalahan.

“Kekalahan ini adalah peringatan Allah dan rakyat supaya kita berubah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya pada sesi perbahasan usul Ucapan Dasar Ketua Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Sufian, UMNO memerlukan pemimpin yang mempunyai kesungguhan dalam perjuangan, bukan mudah patah semangat apabila parti diuji.

Katanya, mereka yang keluar UMNO telah memberi bermacam alasan yang memburukkan imej parti, demi untuk menjaga maruahnya supaya tidak dipandang hina oleh rakyat.

Mereka ini, ujarnya, telah dianggap sebagai orang luar dan tidak ada sebarang kaitan lagi dengan parti.

“Mereka inilah yang menambah burukkan lagi nama UMNO pada pandangan rakyat seolah UMNO ini tidak pernah ada jasa.

“Saya ingatkan pemimpin dan ahli Pemuda, pedulikan orang luar dari parti ini, ia tidak memberi kesan pun kepada UMNO.

“Mereka yang lari dari perjuangan ini sebenarnya paling buruk dan busuk. Mereka telah menempuh kesenangan sepanjang berada dalam parti, mereka tidak mengenang jasa parti,” ujarnya.

Beliau turut bersetuju dengan Ketua Pergerakan Pemuda, Dr Asyraf Wajdi, kalau parti perlu mengambil tindakan ke atas mereka yang meninggalkan UMNO kerana kepentingan diri, ambillah tindakan yang tegas. – MalaysiaGazette