Semua parti politik, pertubuhan dan persatuan berdaftar dengan RoS boleh bersidang dan mengadakan mesyuarat agung pada bulan depan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) gamat dengan ‘boo’ oleh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO sebaik sahaja Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon tidak dapat hadir pada persidangan sayap UMNO itu.

Asyraf Wajdi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda ketika itu mengucapkan terima kasih dengan kehadiran Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R. Thinalan dan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sebaik beliau menyatakan ada menerima teks Whatsapp daripada Sin Woon yang memberitahunya tidak dapat hadir kerana ada ‘emergency meeting’, perwakilan terus ‘boo’.

Ketika itu juga kedengaran perwakilan mencelah, kenapa (Sin Woon) tidak menghantar wakil sebagai ganti.

MCA, sejak Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, dilihat cuba mengasingkan diri dari UMNO, selain menyalahkan parti terbesar orang Melayu itu sebagai punca kekalahan.

Hubungan lebih tegang apabila UMNO memeterai kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada 8 September lalu, yang menambahkan lagi rasa kurang senang MCA. – MalaysiaGazette