Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Pelancaran Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – PKR akan menggunakan pendekatan dan fokus naratif dengan memujuk, mendorong dan mengajak pengundi Port Dickson untuk keluar beramai-ramai mengundi pada Pilihan Raya Kecil 13 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti berusia 20 tahun itu kini tidak lagi mahu mengamalkan cara konvensional iaitu asyik berceramah mega seperti yang diamalkan pada setiap kempen sebelum ini.

Kata beliau, tiga pendekatan itu penting bagi Pakatan Harapan serta PKR khususnya kerana keputusan peratusan keluar mengundi terendah pada tiga PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong mencetuskan ujian getir yang harus dihadapi kali ini.

Ditanya sama ada kemunculan Anwar Ibrahim sebagai calon bertanding di kawasan itu mampu mengubah tragedi itu, kata beliau, pihaknya mengharapkan keajaiban dalam perkara itu.

“Kita harapkan begitu (ramai keluar undi) dan atas sebab itu kita mahu memperhebatkan pertemuan bersemuka dengan pengundi dari rumah ke rumah, pasar malam, pasaraya dan tempat tumpuan orang ramai termasuk di perkampungan luar bandar.

“Malah kejayaan pusat panggilan PKR pada PRU lepas dan ia akan digunakan dengan semua pengkalan data lengkap setiap pengundi penyokong parti, lawan dan juga di atas pagar yang tidak banyak berubah.

Pusat panggilan 24 jam kami akan mendekati setiap pengundi dalam data secara peribadi dan bersemuka untuk mengajak undi sepanjang tempoh berkempen 14 hari ini,” katanya dalam sidang media pembukaan Bilik Gerakan Keadilan PRK Port Dickson di sini.

Pusat Gerakan PRK itu dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR diiringi calon Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa Jentera Pergerakan Pakatan Harapan bagi PRK kali ini bersiap sedia untuk berkempen dan semua dinasihati oleh Anwar supaya tidak mengamalkan sebarang serangan peribadi ke atas calon yang bertanding.

“Kita akan berkempen dengan menzahirkan segala agenda yang diperjuangkan Anwar sebelum ini sepanjang 17 tahun menganggotai Kabinet pada masa dahulu dan yakin dapat ,menterjemahkan kemenangan besar yang diharapkan.

“Jika lawan kami membaling tahi, kami tidak akan bertindak perangai sama, sebaliknya akan memberi bunga dan melayan dengan senyuman kerana PKR kini lebih brdisiplin dan beradab,” ujarnya.

Ditanya sama ada sasaran 70 peratus keluar mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya mampu dicapai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata:”Sasaran yang ditetapkan SPR adalah reasonable (munasabah) dan achiveable (boleh dicapai).

“Kita (PKR) akan menjadikan sasaran 70 peratus SPR sebagai benchmark (penanda aras) Keadilan pada PRK kali ini, jika memperolehi lebih daripada itu, itu satu keputusan membanggakan semua,” katanya.

Anwar dijangka menerima cabaran lapan penjuru selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan berundur pada 13 September lalu sebagai memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.

Penamaan Calon PRK Port Dickson akan bermula 9 hingga 10 pagi 29 September 2018 di Pejabat Daerah Port Dickson. – MalaysiaGazette