Saiful Bukhari Azlan
Calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan (dua kanan) ketika menghantar borang pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Mohd Saiful Bukhari Azlan menyatakan beliau tidak sabar untuk bersemuka dengan bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Kata bekas pembantu peribadi Anwar itu, sudah bertahun lama dia tidak berkesempatan berjumpa dengan Anwar iaitu kali terakhir ialah selepas perbicaraan kes liwat di mahkamah beberapa tahun lalu.

“Saya tidak sabar nak bersemuka dia di dalam dewan (penamaan calon).

“Sudah bertahun lama tidak berjumpanya (Anwar),” katanya selepas mengemukakan kertas pencalonan pada pukul 9.15 pagi di Majlis Perbandaran Port Dickson hari ini.

Ditanya objektifnya untuk bertanding di PRK Parlimen Port Dickson, Mohd Saiful berkata, dia mahu mewakili penduduk kawasan itu di Dewan Rakyat.

Katanya, PRK sangat berbeza dengan Pilihan Raya Umum dan ia sesuai untuk mana-mana calon bertanding bagi mewakili penduduk setempat.

Ujar Saiful, beliau bertanding di kawasan itu kerana Port Dickson merupakan tempat beliau dibesarkan.

“Memang saya sangat sayang PD, saya anak PD dan dibesarkan di Seremban.

“Bapa saya juga di sini dan sejak zaman kanak kanak Seremban menjadi tempat asal saya,” katanya. – MalaysiaGazette